top of page

"Sentiasa takut kepada Allah dan patuhilah segala perintah-Nya"Pengkhotbah 12:13b

Fear God, and keep his commandments (Ecclesiastes 12:13b)


Kebanyakan masa, bila kita dengar perkataan “takut”, kita fikir ia bermakna takut atau gerun kepada sesuatu yang menakutkan. Tetapi di sini, takut akan Allah bukan bermakna takut seperti itu. Takut akan Allah bermakna mengasihi Allah dan menghormati Allah dengan sepenuh hati.


Mengasihi dan menghormati Allah itu sama seperti menghormati ibu bapa yang sangat mengasihi kita. Bayangkan ada seorang ayah yang sangat baik, lembut, dan sentiasa menjaga anak-anaknya. Adakah anak itu akan sering buat perkara nakal, menyakiti hati ayahnya, dan membuat ayahnya sedih? Tentu tidak! Kalau anak itu benar-benar mengasihi ayahnya, dia akan berusaha melakukan perkara yang menyenangkan hati ayah, melakukan yang betul dan baik. Kalau dia buat salah, dia akan sedih kerana telah menyakiti ayah yang dikasihinya, lalu dengan hati yang berat dan air mata, dia akan pergi meminta maaf kepada ayah. Itulah maksud takut kepada ibu bapa dengan cara yang betul. Allah dalam hukum-Nya yang kudus memerintahkan kita untuk menghormati ibu bapa. Dalam perintah kelima, Allah berkata: “Hormatilah ayah dan ibumu.”


Allah sangat baik kepada anak-anak-Nya. Dia memberikan segala yang mereka perlukan: pakaian, makanan, tempat tinggal, dan segala-galanya. Kalau mereka ada kesusahan, mereka boleh meminta pertolongan daripada-Nya. Dalam Alkitab, Allah berkata: “Dan pada hari kesusahan, berserulah kepada-Ku, Aku akan melepaskan engkau, dan engkau akan memuliakan Aku” (Mazmur 50:15).

Yang paling istimewa, Allah memberikan firman-Nya iaitu Alkitab, dan Anak-Nya yang dikasihi, Tuhan Yesus Kristus, kepada mereka. Kerana Yesus sebagai Juruselamat mereka, mereka belajar menghormati dan mengasihi Allah — Bapa di syurga mereka. Ini sepatutnya membuat kita rindu untuk menjadi anak-anak Allah, lalu kita berdoa: “Ya Allah, jadikanlah aku anak-Mu.”


Mintalah kepada Allah supaya Dia meletakkan takut akan Allah di dalam hatimu. Bila kamu berdosa dan melanggar perintah-Nya, kamu akan rasa sedih dan menyesal (bertobat). Allah memberikan kita sepuluh perintah. Minta ayah atau ibu kamu membacakan Keluaran 20 dalam Alkitab. Perintah-perintah itu menyuruh kita mengasihi Allah lebih daripada sesiapa pun, dan mengasihi orang lain seperti mengasihi diri sendiri.


Diterjemahkan daripada buku Abjad Allah untuk KehidupanGod's Alphabet for Life by Joel R. Bekee and Heidi Boorsma

Comments


bottom of page