top of page

Kamu harus dilahirkan kembali. | Yohanes 3:7

Ye must be born again (John3:7)


Anak-anak yang dikasihi, pernahkah kamu mendengar tentang negara China, Rusia, Jerman atau Belanda? Kita biasa memanggil tempat-tempat yang jauh itu sebagai negara asing. Orang biasanya naik kapal terbang untuk pergi ke sana. Mungkin suatu hari nanti kamu juga akan pergi ke negara lain. Tetapi sebelum pergi, kamu mesti bersedia dengan pasport. Pasport adalah buku kecil yang mengandungi gambar kamu dan maklumat tentang diri kamu. Tanpa pasport, kamu tidak akan dibenarkan masuk ke negara itu. Apabila kamu tiba di pintu kastam dan meminta izin masuk, pegawai kastam akan bertanya: “Boleh saya lihat pasport tuan/puan?” Jika kamu jawab, “Encik, saya tiada,” dia akan memberitahu kamu bahawa kamu tidak boleh masuk. Terbang begitu jauh dengan harapan dapat memasuki negara itu, tetapi akhirnya dihantar pulang — betapa mengecewakannya!


Anak-anak, dalam Firman Allah kita membaca bahawa ada satu kerajaan lain yang tidak termasuk dalam dunia ini. Kerajaan itu ialah Kerajaan Sorga, Kerajaan Allah. Allah berada di sana, duduk di atas takhta-Nya, dan semua anak-anak-Nya yang telah meninggal dunia di bumi akan berada di situ mengelilingi-Nya, menyembah dan memuji-Nya: “Kudus, kudus, kudus, Tuhan Allah Yang Mahakuasa!” Mereka memuji Raja yang telah menyelamatkan mereka dari tangan musuh, supaya mereka dapat bersama-sama dengan-Nya selama-lamanya di sorga.


Firman Allah juga menceritakan betapa indahnya tempat itu. Dinding dan jalan-jalannya diperbuat daripada emas tulen dan permata yang mahal. Di sorga tidak ada dosa, tidak ada kesedihan, hanya ada sukacita dan kasih. Kerana Allah ada di sana.


Maka anak-anak, mungkin kamu tertanya-tanya: “Apabila saya mati kelak, bagaimanakah saya boleh pergi ke negara indah ini dan bersama Allah selama-lamanya?” Untuk memasuki Kerajaan Sorga, kamu memerlukan pasport. Tetapi pasport ini sangat luar biasa. Pasport ini adalah darah Yesus yang mulia. Untuk memiliki pasport ini, kita perlu dilahirkan kembali, kita perlu meletakkan seluruh harapan keselamatan dan kepercayaan kita kepada Yesus dan darah penebusan-Nya.


Allah berfirman: “Kamu harus dilahirkan kembali”. Maksudnya, ketika kita dilahirkan pertama kali, kita datang dengan hati yang berdosa. Syaitan menjadi tuhan palsu yang kita kasihi dan kita taati. Tetapi apabila seorang berdosa dilahirkan kembali, Allah masuk ke dalam hati orang itu, dan Syaitan tidak lagi menjadi rajanya. Dia sekarang mempunyai hati yang baru, segala-galanya menjadi berubah. Dia mula membenci dosa, dan pada masa yang sama timbul cinta kepada Allah dan Firman-Nya. Allah menjadi objek kasih dan penyembahan-nya. Dia hanya percaya kepada Yesus Kristus untuk keselamatan, dan dalam Juruselamat yang mulia ini dia menemui segala-galanya. Seperti Petrus yang mengenal darah Yesus sebagai “darah yang mahal” (1 Petrus 1:19), dia mula memahami bahawa hanya melalui darah ini — iaitu melalui kematian Yesus bagi pihaknya — barulah dia memperoleh pasport untuk masuk ke sorga. Segala sesuatu menjadi baru di dalam Yesus. Seolah-olah orang berdosa itu memulakan hidup dari awal. Itulah sebabnya disebut dilahirkan kembali.


Untuk memasuki sorga di mana Allah berada, kita di bumi ini mesti terlebih dahulu memiliki Yesus di dalam hati kita. Berdoalah kepada Allah supaya melalui kelahiran baru Dia memberikan kamu hidup baru di dalam Kristus.


Diterjemahkan daripada buku Abjad Allah untuk KehidupanGod's Alphabet for Life by Joel R. Bekee and Heidi Boorsma

Comments


bottom of page