top of page

Wahyu Ilahi

Petikan Essential Truths of Christian Faith oleh RC Sproul


Segala yang kita ketahui tentang Kristianiti telah diwahyukan kepada kita oleh Allah. Untuk mewahyukan bermaksud “menyingkap”. Ia melibatkan penyingkapan sesuatu yang tersembunyi daripada sesuatu yang disembunyikan.


Ketika anak saya membesar, kami membangunkan tradisi tahunan untuk meraikan hari lahirnya. Daripada corak biasa mengedarkan hadiah, kami melakukannya melalui versi buatan sendiri daripada rancangan permainan televisyen “Let’s Make a Deal.” Saya menyembunyikan hadiah-hadiahnya di tempat rahsia seperti dalam laci, di bawah sofa, atau di belakang kerusi. Kemudian saya memberinya pilihan: “Kamu boleh ambil apa yang ada dalam laci meja atau apa yang ada dalam poket saya.” Kemuncak permainan itu tertumpu pada “urusan besar hari ini.” Saya menyusun tiga kerusi yang ditutup dengan selimut. Setiap selimut menyembunyikan hadiah. Satu kerusi mempunyai hadiah kecil, kerusi kedua mempunyai hadiah besarnya, dan kerusi ketiga mempunyai tongkat yang pernah digunakan selepas dia mematahkan kakinya pada umur tujuh tahun.


Selama tiga tahun berturut-turut, anak saya memilih kerusi yang mengandungi tongkat! (Saya sentiasa membiarkannya menukar tongkat itu dengan hadiah sebenar.) Pada tahun keempat, dia bertekad untuk tidak memilih kerusi dengan tongkat di bawah selimut. Kali ini saya menyembunyikan hadiah besarnya bersama tongkat dan membiarkan hujung tongkat itu kelihatan di bawah selimut. Melihat hujung tongkat itu, dia dengan teliti mengelak memilih kerusi itu. Saya berjaya menipunya lagi!


Bahagian yang menyeronokkan dalam permainan itu ialah cuba meneka di mana harta karun itu disembunyikan. Tetapi ia hanyalah tekaan semata-mata, spekulasi tulen. Penemuan harta sebenar tidak boleh dibuat sehingga selimut itu disingkap dan hadiah itu tersingkap.



Begitulah halnya dengan pengetahuan kita tentang Allah. Spekulasi sia-sia tentang Allah adalah usaha orang bodoh. Jika kita ingin mengenal Dia dengan benar, kita mesti bergantung pada apa yang Dia beritahu kita tentang Dirinya.


Alkitab menunjukkan bahawa Allah mewahyukan Dirinya dalam pelbagai cara. Dia mempamerkan kemuliaan-Nya dalam dan melalui alam semula jadi. Dia mewahyukan Dirinya pada zaman dahulu melalui mimpi dan penglihatan. Tanda penyediaan-Nya ditunjukkan dalam halaman-halaman sejarah. Dia mewahyukan Dirinya dalam Kitab Suci yang diilhamkan. Kemuncak wahyu-Nya dilihat dalam Yesus Kristus menjadi manusia—apa yang dipanggil ahli teologi sebagai “penjelmaan”(the incarnation).

Pengarang Ibrani menulis:


Allah telah berfirman pada pelbagai zaman dan dengan aneka cara kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi. Tetapi pada akhir zaman ini Allah telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya, yang telah dijadikan-Nya pewaris kepada segala-galanya; melalui Anak-Nya itu Allah telah mencipta alam semesta. (Ibrani 1:1-2)


Walaupun Alkitab menyebut tentang “pelbagai cara” Allah mewahyukan Dirinya, kita membezakan antara dua jenis utama wahyuwahyu umum(general revelation) dan wahyu khusus(special revelation).


Wahyu umum dipanggil “umum” atas dua sebab: (1) ia umum dari segi kandungan, dan (2) ia diwahyukan kepada khalayak umum.


Kandungan Umum

Wahyu umum memberikan kita pengetahuan bahawa Allah wujud. “Langit menceritakan kemuliaan Allah,” kata pemazmur. Kemuliaan Allah dipamerkan dalam karya tangan-Nya. Paparan ini begitu jelas dan nyata sehingga tiada makhluk boleh terlepas daripadanya. Ia menyingkap kuasa kekal dan keilahian-Nya (Roma 1:18-23). Wahyu dalam alam tidak memberikan wahyu penuh tentang Allah. Ia tidak memberikan maklumat tentang Allah Sang Penebus yang kita dapati dalam Alkitab. Tetapi Allah yang diwahyukan dalam alam adalah Allah yang sama yang diwahyukan dalam Kitab Suci.


Khlayak Umum

Tidak semua orang di dunia telah membaca Alkitab atau mendengar Injil diisytiharkan. Tetapi cahaya alam menyinari setiap orang di setiap tempat, pada setiap masa. Wahyu umum Allah berlaku setiap hari. Dia tidak pernah tanpa saksi tentang Dirinya. Dunia yang kelihatan seperti cermin yang memantulkan kemuliaan Penciptanya.


Dunia adalah pentas bagi Allah. Dia adalah pelakon utama yang muncul di hadapan dan tengah. Tiada tabir yang boleh jatuh dan menutup kehadiran-Nya. Kita tahu daripada satu pandangan ciptaan bahawa alam bukan ibu kepada dirinya sendiri. Tiada “ibu” seperti Ibu Alam. Alam itu sendiri tidak berkuasa menghasilkan kehidupan apa pun. Dalam dirinya, alam itu mandul. Kuasa untuk menghasilkan kehidupan terletak pada Pengarang alam—Allah. Menggantikan alam sebagai sumber kehidupan adalah mengelirukan makhluk dengan Pencipta. Semua bentuk penyembahan alam adalah perbuatan syirik yang dibenci oleh Allah.


Kerana kekuatan wahyu umum, setiap manusia tahu bahawa Allah wujud. Ateis melibatkan penafian sepenuhnya terhadap sesuatu yang diketahui benar. Inilah sebabnya Alkitab berkata, “Orang bodoh berkata dalam hatinya, ‘Tiada Allah’” (Mazmur 14:1). Apabila Kitab Suci mengecam ateis dengan memanggilnya “bodoh”, ia membuat penilaian moral ke atasnya. Menjadi bodoh dalam istilah alkitabiah bukanlah kurang bijak atau kekurangan kecerdasan; ia adalah tidak bermoral. Seperti takut akan Allah adalah permulaan hikmat, begitu juga penafian Allah adalah kemuncak kebodohan.



Orang agnostik juga menafikan kekuatan wahyu umum. Orang agnostik kurang garang daripada ateis; dia tidak menafikan secara langsung kewujudan Allah. Sebaliknya, agnostik menyatakan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk memutuskan satu arah atau yang lain tentang kewujudan Allah. Dia lebih suka menggantung penghakimannya, meninggalkan isu kewujudan Allah sebagai soalan terbuka. Walau bagaimanapun, dalam cahaya kejelasan wahyu umum, sikap agnostisisme tidak kurang dibenci oleh Allah daripada ateis yang militan.


Tetapi bagi sesiapa yang fikiran dan hatinya terbuka, kemuliaan Allah amat indah untuk dilihat—daripada berbilion alam semesta di langit hingga kepada zarah subatom yang membentuk molekul terkecil. Alangkah hebatnya Allah yang kita sembah!


Ayat-ayat Alkitab untuk renungan:

Mazmur 19:1-14

Efesus 3:1-13

2 Timotius 3:14-17

Ibrani 1:1-4


RINGKASAN

  1. Kristianiti adalah agama yang diwahyukan.

  2. Wahyu Allah adalah penyingkapan diri. Dia menyingkap tabir yang menghalang kita mengenal Dia.

  3. Kita tidak mengenal Allah melalui spekulasi.

  4. AllahmewahyukanDirinya dalam pelbagai cara sepanjang sejarah.

  5. Wahyu umum diberikan kepada semua manusia.

  6. Ateis dan agnostik berdasarkan penafian terhadap apa yang orang tahu benar.

  7. Kebodohan diasaskan pada penafian Allah.

  8. Hikmat diasaskan pada takut akan Allah.


Diterjemahkan daripada petikan Essential Truths of Christian Faith oleh RC Sproul

Comments


bottom of page