top of page

Pengwahyuan Khusus dan Alkitab

Petikan Essential Truths of Christian Faith oleh RC Sproul


Ketika Yesus dicobai oleh Iblis di padang gurun, Dia menegur iblis dengan kata-kata, “Manusia tidak hidup dari roti sahaja, tetapi dari setiap firman yang keluar dari mulut Allah” (Matius 4:4). Secara sejarah, gereja telah menggemakan ajaran Yesus dengan menegaskan bahawa Alkitab adalah vox Dei, iaitu “suara Allah” atau verbum Dei, iaitu “Firman Allah”. Untuk memanggil Alkitab sebagai Firman Allah bukan bermakna ia ditulis oleh tangan ilahi Allah sendiri atau jatuh dari syurga dengan payung terjun. Alkitab itu sendiri dengan jelas menarik perhatian kepada ramai pengarang manusia. Dalam kajian teliti terhadap Kitab Suci, kita perhatikan bahawa setiap pengarang manusia mempunyai gaya sastera yang unik, perbendaharaan kata, penekanan khas, perspektif, dan sebagainya. Memandangkan penghasilan Alkitab melibatkan usaha manusia, bagaimanakah ia boleh dianggap sebagai Firman Allah?


Alkitab dipanggil Firman Allah kerana tuntutannya, yang dipercayai oleh gereja, bahawa penulis manusia tidak hanya menulis pendapat mereka sendiri, tetapi kata-kata mereka diilhamkan oleh Allah. Rasul Paulus menulis, “Segala tulisan diilhamkan Allah dan berguna untuk mengajar, untuk menyatakan kesalahan, untuk memperbetulkan kelakuan, dan untuk mendidik orang dalam kebenaran” (2 Timotius 3:16). Perkataan ilham (inspiration) diterjemahkan daripada perkataan Yunani yang bermaksud “ditiupkan Allah” (God-breathed). Allah menghembuskan Alkitab. Seperti kita mesti menghembuskan nafas dari mulut kita ketika berbicara, begitulah akhirnya Kitab Suci adalah Allah yang berbicara.


Walaupun Kitab Suci sampai kepada kita melalui pena pengarang manusia, sumber utama Kitab Suci adalah Allah. Itulah sebabnya para nabi boleh memulakan kata-kata mereka dengan mengatakan, “Beginilah firman TUHAN.” Inilah juga sebabnya Yesus boleh berkata, “Firman-Mu adalah kebenaran” (Yohanes 17:17), dan “Kitab Suci tidak dapat dibatalkan” (Yohanes 10:35).



Perkataan ilham juga menarik perhatian kepada proses di mana Roh Kudus mengawasi penghasilan Kitab Suci. Roh Kudus membimbing penulis manusia supaya kata-kata mereka menjadi tidak kurang daripada firman Allah. Bagaimana Allah mengawasi penulisan asal Alkitab tidak diketahui. Tetapi ilham tidak bermakna Allah mendikte pesan-Nya kepada mereka yang menulis Alkitab. Sebaliknya, Roh Kudus menyampaikan melalui penulis manusia kata-kata Allah itu sendiri.


Umat Kristian menegaskan ketidaksalahan (infallibility) dan ketidakbersalahan (inerrancy) Alkitab kerana Allah adalah Pengarang utama Alkitab. Dan kerana Allah tidak mampu mengilhamkan kepalsuan, firman-Nya adalah sepenuhnya benar dan boleh dipercayai. Sebarang produk sastera manusia biasa yang disediakan secara normal boleh terdedah kepada kesilapan. Tetapi Alkitab bukan projek manusia biasa. Jika Alkitab diilhamkan dan diawasi oleh Allah, maka ia tidak boleh tersilap.


Ini tidak bermakna terjemahan Alkitab yang kita miliki hari ini bebas daripada kesilapan, tetapi naskah asal adalah betul sepenuhnya. Ia juga tidak bermakna setiap pernyataan dalam Alkitab adalah benar. Penulis kitab Pengkhotbah, misalnya, menyatakan bahawa “tiada pekerjaan atau rancangan atau pengetahuan atau hikmat di dalam kubur ke mana engkau pergi” (Pengkhotbah 9:10). Penulis sedang berbicara dari sudut pandangan keputusasaan manusia, dan kita tahu pernyataannya tidak benar daripada bahagian lain Kitab Suci. Walaupun dalam mendedahkan pemikiran palsu seorang yang putus asa, Alkitab tetap berbicara kebenaran.


Ayat-ayat Alkitab untuk renungan:

Mazmur 119

Yohanes 17:17

1 Tesalonika 2:13

2 Timotius 3:15-17

2 Petrus 1:20-21


RINGKASAN

  1. Ilham adalah proses di mana Allah menghembuskan firman-Nya.

  2. Allah adalah sumber utama Alkitab.

  3. Allah adalah Pengawas utama Alkitab.

  4. Hanya naskah asal Alkitab yang bebas daripada kesilapan.


Diterjemahkan daripada petikan Essential Truths of Christian Faith oleh RC Sproul


catatan kaki penterjemah

  • Infallibility → Alkitab tidak boleh gagal (trustworthy & reliable).

  • Inerrancy → Alkitab tidak mengandungi kesilapan (without error).

Comments


bottom of page