top of page

"Mintalah, dan kamu akan menerimanya" Matius 7:7a


Ask, and it shall be given you. — matthew 7:7a


Anak-anak yang dikasihi, pernahkah kamu terfikir, berapa banyaknya buku di dunia ini? Buku di dunia ini sungguh banyak sekali, sehingga mustahil untuk menghitung semuanya. Tetapi ada satu Buku yang sangat berbeza daripada semua buku lain di dunia. Buku itu amat istimewa. Buku itu ialah Alkitab.


Apakah yang menjadikan Alkitab begitu istimewa dan berbeza? Kerana ia adalah firman Allah. Buku-buku lain hanya mencatat pemikiran dan perbuatan manusia, tetapi Alkitab dari awal hingga akhir mencatat pemikiran dan perbuatan Allah yang kudus. Allah tidak menulis Alkitab dengan tangan-Nya sendiri, tetapi Dia meletakkan firman-Nya ke dalam hati dan fikiran banyak orang yang berbeza, supaya mereka menuliskannya.


Alkitab adalah buku yang sempurna. Tidak ada kesalahan di dalamnya. Kerana Allah adalah Allah yang sempurna.


Allah memberikan Alkitab kepada kita supaya kita dapat mengenal siapa diri kita dan siapa Allah. Dalam Alkitab, Allah memberitahu kita banyak perkara tentang diri-Nya. Yang lebih penting lagi, Alkitab memberitahu kita bahawa kita adalah orang berdosa yang hilang, yang telah mempercayai dusta syaitan. Hanya ada satu cara untuk menjadi anak-anak Allah, iaitu melalui Anak-Nya yang dikasihi, Yesus Kristus.


Alkitab itu seperti peti harta karun yang diberikan Allah kepada kita. Jika seseorang memberikan kamu sebuah peti yang penuh dengan permata, kamu pasti akan segera membukanya dengan teruja. Kamu akan memeriksa setiap barang di dalamnya, menyentuh dan memandang semuanya. Anak-anak, tahukah kamu bahawa apabila kita memegang Alkitab, kita sedang memegang sebuah peti harta karun? Apabila kita membuka firman Allah dan membacanya dengan sungguh-sungguh, kita akan menemui janji-janji yang sangat berharga di dalamnya. Janji itu amat penting bagi kita, bukan?


Bayangkan jika ibu kamu berjanji memberikan sesuatu yang istimewa kepada kamu, tetapi kamu perlu menunggu. Tidakkah kamu sering bertanya, “Ibu, boleh tak beri sekarang? Ibu dah janji nak bagi. Saya kena tunggu berapa lama lagi?” Kamu sangat menginginkannya, sehingga kamu selalu mengingatkan ibu dengan janji itu. Jika ibu tidak menepati janji, itu tidak betul, bukan? Kadang-kadang ibu bapa memang tidak dapat menepati janji kepada anak-anak, tetapi Allah tidak pernah melanggar janji-Nya. Allah tidak mungkin berbuat demikian. Melanggar janji adalah dosa, dan Allah tidak mungkin berdosa kerana Dia adalah Allah yang kudus dan sempurna.


“Mintalah, dan kamu akan menerimanya” adalah salah satu janji berharga Allah. Adakah ini bermakna apa sahaja yang kita minta, Allah akan beri? Tidak. Maksudnya ialah, jika sesuatu itu benar-benar diperlukan untuk tubuh dan jiwa kita, Allah bukan sahaja membenarkan kita memintanya, malah memerintahkan kita untuk memintanya. Jika Allah menganggap kita memerlukan sesuatu, Dia akan menyediakannya.


Adakah kita hanya perlu meminta sekali sahaja? Tidak. Allah mahu kita terus meminta, berulang kali, sehingga kita menerima apa yang Dia tahu kita perlukan. Salah satu perkara yang setiap orang mesti terima ialah hati baru yang membenci dosa, taat kepada firman Allah, dan mengasihi-Nya.


Diterjemahkan daripada buku Abjad Allah untuk Kehidupan:God's Alphabet for Life by Joel R. Bekee and Heidi Boorsma

Comments


bottom of page