top of page

Jagalah lidahmu daripada kejahatan | Mazmur 34:13a

Keep thy tongue from evil (Psalm34:13a)


Lidah adalah organ yang sangat kecil di dalam tubuh kita. Ia adalah hadiah daripada Allah, untuk memuji dan memuliakan nama-Nya. Kita juga boleh menggunakan lidah untuk menolong orang lain. Setiap hari di sekolah, guru menggunakan lidahnya untuk mengajar kamu. Setiap hari Ahad, Allah menggunakan lidah pendeta untuk mengajar kita tentang jalan keselamatan. Ibu bapa kamu setiap hari menggunakan lidah mereka untuk memberitahu kamu bahawa mereka mengasihi kamu, memberitahu kamu siapa Allah, siapa kita, dan bagaimana kita boleh diselamatkan di dalam Yesus Kristus. Allah memberikan kita lidah supaya kita boleh berdoa kepada-Nya: “Ya Allah, kasihanilah aku orang berdosa ini.”


Semua ini adalah cara yang baik menggunakan lidah kita. Tetapi terlalu kerap, kita menggunakan lidah dengan cara yang jahat. Alkitab memberitahu kita bahawa lidah kita seperti racun yang mematikan, dan kita sering menggunakannya untuk berdosa. Apabila kita mengejek rakan sekelas, atau bergosip dan berkata buruk tentang guru dengan rakan-rakan, kita sedang mengeluarkan kata-kata jahat. Apabila kita bertengkar dengan adik-beradik di rumah dan saling memaki, kita juga sedang berdosa. Kita tidak menjaga lidah daripada keluar kata jahat. Bukankah kadang-kadang kita berdusta kepada ibu bapa? Apabila ibu bertanya adakah kamu mengambil gula dari almari, kamu segera menjawab: “Tidak.” Padahal kamu tahu kamu sedang berdusta. Allah memerintahkan kita untuk menjaga lidah daripada keluar kata jahat, tetapi dosa begitu mudah keluar dari lidah kita — tidakkah kamu rasa tidak selesa?


Banyak orang apabila marah akan menyalahgunakan nama Allah. Mereka menggunakan nama Allah tanpa sebarang rasa hormat atau takut. Malah menggunakan nama Allah untuk mengutuk. Ini sangat dahsyat. Anak-anak, jangan sekali-kali melakukan ini. Allah adalah Allah yang kudus. Kita hanya boleh menggunakan nama-Nya ketika berdoa, atau ketika bercakap tentang Pencipta kita dengan rasa hormat dan takut.


Sebuah kapal besar boleh diubah arah hanya dengan kemudi kecil yang dipegang oleh kapten. Jika kapten memutar kemudi ke arah yang salah, kapal mungkin masuk ke dalam bahaya. Tetapi jika memutar kemudi dengan betul, kapal boleh selamat sampai ke pelabuhan. Lidah kita sama seperti kemudi itu. Jika kita menggunakan lidah untuk mengeluarkan kata jahat, kita boleh membawa diri kita atau orang lain ke dalam bahaya. Tetapi jika kita menggunakan lidah dengan baik, kita boleh membawa faedah kepada diri sendiri dan orang lain.


Cara terbaik menggunakan lidah kita ialah berdoa. Setiap hari mohonlah kepada Allah supaya membantu kamu menjaga lidah daripada keluar kata jahat, dan sebaliknya berkata kata-kata yang baik.


Diterjemahkan daripada buku Abjad Allah untuk KehidupanGod's Alphabet for Life by Joel R. Bekee and Heidi Boorsma

Comments


bottom of page