top of page

Darah Kristus yang amat berharga | 1 Petrus 1:19a

Precious blood of Christ (1Peter1:19a)


Jika kamu jatuh pada batu yang tajam, dan kaki kamu terluka, adakah kamu terus bermain? Tidak. Kamu akan segera berlari kepada ibu kamu untuk minta tolong. Jika ibu kamu tidak dapat menghentikan darah yang mengalir, kamu akan segera pergi kepada doktor. Doktor akan memberikan ubat dan membalut luka dengan pembalut. Apabila badan kita sakit atau cedera, Allah memberikan kita doktor dan ubat untuk membantu kita.


Anak-anak, tahukah kamu bahawa jiwa kamu juga mengalami satu penyakit yang mematikan? Penyakit itu dipanggil dosa. Dosa adalah mematikan kerana jika kita tidak mendapat ubat untuk menyembuhkannya, apabila kita mati, kita akan terpisah selamanya daripada Allah dan kebaikan-Nya. Itu adalah perkara yang sangat buruk, kerana itu bermakna kita akan kekal bersama Syaitan, dan Syaitan sangat jahat.


Doktor di dunia ini tidak dapat menyembuhkan luka mematikan dosa kita; ubat mereka juga tidak berguna. Bagi luka dosa ini, hanya ada satu cara penyembuhan, iaitu membersihkan dosa kita di dalam darah Yesus Kristus yang berharga. Darah Yesus membersihkan segala dosa, menjadikan hati kita yang hitam dan kotor menjadi lebih putih daripada salji. Bagaimanakah kita boleh mendapat darah yang berharga ini? Ke mana kita harus pergi? Hanya Yesus sahaja yang boleh memberikan darah ini kepada kita.


Anak-anak, apabila kamu jatuh dan kaki terluka, ia akan mula berdarah. Apakah lagi yang berlaku? Kamu akan mula rasa sakit. Kemudian kamu akan menangis dan mencari pertolongan. Begitulah juga apabila Allah menunjukkan kepada umat-Nya luka dosa mereka. Kerana dosa mereka, mereka akan merasa sakit di dalam jiwa, lalu mereka mula menangis dan berseru kepada Allah. Mereka berseru: “‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.’ ” (Lukas 18:13b). “basuhlah aku sehingga lebih putih daripada salji” (Mazmur 51:7b). “Ciptakan hati yang bersih dalam diriku, ya Allah” (Mazmur 51:10a). “pulihkan jiwaku, kerana aku telah berdosa terhadap-Mu.” (Mazmur 41:4b). Apabila Allah mendengar tangisan seorang berdosa dengan sepenuh hati, Dia akan mencurahkan darah Yesus yang berharga ke atas jiwa orang itu, dan menciptakan hati yang baru, bersih, dan rohani baginya.


Anak-anak, mintalah kepada Allah supaya Dia menunjukkan kepada kamu luka dosa kamu, dan membantu kamu berlari kepada darah Yesus untuk mendapat keselamatan.


Diterjemahkan daripada buku Abjad Allah untuk KehidupanGod's Alphabet for Life by Joel R. Bekee and Heidi Boorsma

Comments


bottom of page