top of page

“Ciptakan hati yang bersih dalam diriku, ya Allah,” Mazmur 51:10a


Create in me a clean heart, O God (Psalm 51:10a)


Anak-anak yang dikasihi, kita dilahirkan dengan hati daging di dalam badan. Kita boleh rasa ia berdegup-degup. Degup itu membuktikan kita hidup.


Kita juga dilahirkan dengan jiwa, tetapi kita tidak dapat melihat jiwa kita. Alkitab kadang-kadang menyebut jiwa sebagai hati, kerana sama seperti hati daging adalah pusat kehidupan badan kita, jiwa adalah pusat kehidupan rohani kita. Ketika Daud berdoa, “Ya Allah, ciptakanlah bagiku hati yang tahir”, dia sedang memohon kepada Allah supaya membersihkan jiwanya, atau membersihkan hati rohaninya.


Jiwa kita, atau hati rohani kita, adalah pusat diri kita yang sebenar. Setelah badan kita dikuburkan ke dalam tanah, jiwa kita tetap hidup selama-lamanya. Kita akan hidup di mana selama-lamanya? Jika kita memiliki jiwa yang bersih, atau hati rohani yang tair, kita akan hidup selama-lamanya di Syurga bersama Allah. Tetapi jika hati rohani kita tidak pernah dibersihkan oleh darah Yesus, kita akan tinggal selama-lamanya di neraka.


Syurga adalah kerajaan Allah. Alkitab memberitahu kita bahawa Syurga adalah tempat yang indah, tanpa kesedihan, tanpa kesakitan, tanpa air mata. Neraka adalah kerajaan syaitan yang menakutkan, di mana kesedihan, kesakitan dan air mata tidak pernah berakhir.


Tetapi anak-anak, yang menyedihkan ialah kita sering menganggap diri kita orang baik, percaya bahawa hati rohani kita sudah cukup bersih, tidak memerlukan pertolongan. Kita tidak berdoa kepada Allah, “Ciptakan hati yang bersih dalam diriku, ya Allah,”.


Jika kita rasa sihat, kita tidak perlu pergi jumpa doktor. Tetapi jika kita sakit teruk dan ingin sembuh, kita akan segera pergi jumpa doktor, berharap doktor itu dapat menyembuhkan kita di bawah pemeliharaan Allah. Begitu juga dengan kehidupan rohani kita. Jika Allah membiarkan kita melihat betapa kotornya hati kita kerana dosa, kita akan berseru kepada-Nya. Kerana pada saat itu kita akan benci dosa seperti Allah membenci dosa, kita akan malu kerana telah berdosa terhadap Allah yang begitu baik. Lalu kita akan berdoa, “Ya Allah, ciptakanlah bagiku hati yang tahir”.


Allah boleh, dan mahu, memberikan hati rohani yang baru kepada kamu kerana Yesus dan pekerjaan-Nya. Dia mengajar kita untuk menyesal atas dosa — kita panggil ini pertobatan. Dia memimpin kita untuk hanya percaya dan bersandar kepada Yesus Kristus sahaja untuk mendapat keselamatan dan hati yang bersih — kita panggil ini iman. Mintalah Roh Kudus membawa firman Allah masuk ke dalam jiwa kamu, supaya kamu bertobat dan hanya percaya kepada Yesus untuk diselamatkan. Pada saat itu, hati rohani kamu akan menjadi bersih di dalam Kristus.


Diterjemahkan daripada buku Abjad Allah untuk Kehidupan:God's Alphabet for Life by Joel R. Bekee and Heidi Boorsma

Comments


bottom of page