top of page

Carilah hadirat TUHAN selagi Dia dapat ditemui | Yesaya 55:6a

Seek ye the Lord while he may be found (Isaiah 55:6a)


Anak-anak yang dikasihi, tahukah kamu bahawa ini adalah perkara paling utama yang harus kita lakukan sepanjang hidup kita? Allah dalam firman-Nya berkata: “Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu” (Matius 6:33 ). Jika kita mencari Allah, dan oleh anugerah-Nya kita menemui-Nya, Dia akan menjadikan kita anak-anak-Nya, lalu Dia akan memberikan segala yang diperlukan untuk tubuh dan jiwa kita.


Bagaimanakah kita boleh mencari Allah? Pertama, kita mesti berdoa. Ia adalah bercakap dengan Allah, memohon agar Dia memberikan kita hati yang baru. Kita mesti memohon kepada Allah supaya Dia menunjukkan betapa berdosa-nya kita, dan memberikan kita iman untuk percaya kepada Yesus.


Kita juga mesti mencari-Nya dalam firman Allah, iaitu Alkitab. Allah memberikan firman-Nya kepada kita untuk mengajar kita mengenal diri sendiri, memahami betapa berdosa dan kotor-nya hati kita. Pada masa yang sama, firman-Nya mengajar kita bahawa Allah telah mengutus Anak-Nya sebagai Penolong bagi orang berdosa, membawa mereka kepada pertobatan, membuat mereka sangat menyesal atas dosa mereka, dan memberikan iman serta keinginan untuk melayani Allah dengan sepenuh hati. Kita tidak dapat melihat Allah, tetapi apabila kita membaca Alkitab, kita mengenal siapa Dia. Kita juga belajar apa yang telah Dia lakukan dengan indah bagi anak-anak-Nya. Allah berbicara kepada anak-anak-Nya melalui Alkitab. Roh Kudus membawa kata-kata ini ke dalam hati anak-anak-Nya, memenuhi mereka dengan iman, pengharapan, dan kasih kepada Bapa di syurga.


Cara lain untuk mencari Allah adalah mendengar pendeta memberitakan firman Allah di gereja. Juga menghadiri kelas katekismus dan sekolah minggu. Kita harus tekun datang ke rumah Allah, kerana Allah suka bertemu dengan kita di sana. Kita juga boleh mencari Allah dalam devosi peribadi dan keluarga, serta di sekolah gereja. “Kerana apabila dua atau tiga orang berhimpun dalam nama-Ku, Aku ada di situ bersama mereka” (Matius 18:20). Bukankah ini janji yang indah daripada Allah? Dia berjanji bahawa setiap kali dua atau tiga orang berkumpul untuk mendengar atau membincangkan Allah dan firman-Nya, Allah ada di sana dan memberkati mereka.


Ayat kita berkata: “Carilah hadirat TUHAN selagi Dia dapat ditemui”. Anak-anak, akan datang satu hari di mana kita tidak lagi dapat menemui Allah. Ada orang yang cuba mencari-Nya pada usia tua, tetapi sudah terlambat. Sekarang kamu masih muda, inilah masa terbaik untuk mencari Allah. Masa terbaik untuk mencari Allah adalah hari ini. Esok mungkin sudah terlambat. Kita tidak tahu sama ada kita masih hidup esok. Kita juga tidak tahu bila Yesus Kristus akan kembali di awan-awan.


Mintalah kepada Allah memberikan anugerah dan kebijaksanaan kepada kamu, supaya hari ini, semasa kamu masih muda, kamu mencari-Nya dan berseru kepada-Nya. Dia telah berjanji: “Aku mengasihi orang yang mengasihiku, sesiapa yang bersungguh-sungguh mencari aku akan menemuiku.” (Amsal 8:17 (AVB)


Diterjemahkan daripada buku Abjad Allah untuk KehidupanGod's Alphabet for Life by Joel R. Bekee and Heidi Boorsma

Comments


bottom of page