top of page

Berpalinglah kepada-Ku dan biarlah kamu diselamatkan | Yesaya 45:22a

Look unto me,and be ye saved (Isaiah45:22a)


Jika kamu mendapat penyakit yang mematikan, hampir mati, kamu akan segera berlari kepada doktor untuk meminta pertolongan. Kamu akan mendengar dengan teliti apa yang dikatakan olehnya, dan akan berusaha melakukan segala yang disuruhnya. Apa sahaja yang boleh membantu kamu mengatasi penyakit itu, kamu akan lakukan.


Tetapi, wahai anak-anak, adakah kamu sedar bahawa secara semula jadi, setiap kita telah dijangkiti penyakit mematikan, hampir mati? Penyakit itu bernama dosa, yang diturunkan daripada nenek moyang kita, Adam dan Hawa. Apabila mereka memakan buah terlarang, mereka telah berdosa kepada Allah. Allah berkata kepada Adam: “Buah daripada pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat, janganlah kamu makan, sebab pada hari engkau memakannya, engkau pasti mati” (Kejadian 2:17). Jiwa mereka berpaling daripada Allah kepada dosa, tubuh mereka akan mati dan kembali ke tanah yang digunakan Allah untuk mencipta mereka. Jika mereka tidak bertobat dan tidak percaya kepada jalan keselamatan Allah, jiwa mereka akan binasa selama-lamanya di neraka.


Kita tidak berbeza dengan Adam dan Hawa. Setiap hari kita memakan buah terlarang. Setiap kali kita memilih melakukan kejahatan daripada kebaikan, kita sedang berdosa. Ini bermakna tubuh kita akan mati. Jika kita terus berdosa tanpa bertobat, jiwa kita yang malang akan mati selama-lamanya di neraka. Kita memerlukan kelahiran baru.


Namun, ayat yang indah ini penuh dengan harapan. “Berpalinglah (memandang) kepada-Ku dan biarlah kamu diselamatkan, wahai segala hujung bumi, kerana Akulah Allah dan tidak ada yang lain.” Perkataan “memandang” bermaksud percaya atau hanya bergantung kepada Allah. Seperti orang Israel di padang gurun yang digigit ular, lalu memandang kepada ular tembaga yang digantungkan Musa di tiang, dan mereka sembuh; demikian juga kita orang berdosa yang malang ini, apabila memandang kepada Yesus di salib di Bukit Golgota, kita akan disembuhkan dan diselamatkan daripada penyakit mematikan dosa. Jika kita oleh anugerah memandang kepada Yesus Kristus, Allah akan mengampuni dosa kita melalui Anak-Nya yang dikasihi, Yesus Kristus, dan kita akan bersama Allah selama-lamanya di syurga.


Kita memerlukan Roh Kudus untuk membantu kita memahami: kerana dosa, kita sudah sakit parah hampir mati. Kita mesti berdoa untuk pertobatan yang sejati (iaitu menyesali dosa kita dengan sungguh-sungguh). Saat itu kita akan berseru: “Allah, aku memandang kepada-Mu. Yesus, selamatkanlah aku. Tiada Allah lain yang boleh menyelamatkan selain Engkau.”


Diterjemahkan daripada buku Abjad Allah untuk KehidupanGod's Alphabet for Life by Joel R. Bekee and Heidi Boorsma

Comments


bottom of page