top of page

Ingatlah hari Sabat dan jagalah kesuciannya. | Keluaran 20:8

Remember the Sabbath day, to keep it holy (Exodus 20:8).


Anak-anak yang dikasihi, apabila kita memandu melalui jalan-jalan besar pada hari Ahad menuju ke gereja, kita hampir selalu melihat kebanyakan kedai-kedai dibuka pintu, orang ramai lalu lalang. Dulu, kebanyakan kedai ditutup pada hari Ahad, malah ada yang menggantung papan tanda di tingkap: “Kedai Tutup — Gereja Dibuka”. Kita melihat ramai orang berjalan atau memandu ke gereja. Tetapi hari ini, kita melihat ramai kanak-kanak bermain bola, berskate atau berbasikal pada hari Ahad, sama seperti hari-hari biasa dalam seminggu. Anak-anak, ini tidak patut dilakukan, dan ia akan menyakiti hati Allah.

Tuhan memberikan hari Sabat sebagai hadiah yang sangat berharga kepada kita. Allah memerintahkan kita untuk menyisihkan satu hari dalam seminggu khusus untuk menyembah-Nya — betapa berharganya hadiah itu! Namun kita sering membuang hadiah itu ke tanah dan memijaknya dengan sengaja. Kita seolah-olah mengembalikan hadiah itu kepada Allah sambil berkata: “Kami tidak mahu menggunakan hari ini untuk mencari dan menyembah-Mu. Kami mahu melakukan apa sahaja yang kami suka pada hari ini.” Ini sangat menyedihkan hati Allah.


Alkitab memberitahu kita bahawa Allah menciptakan dunia dalam enam hari. Pada hari ketujuh, Dia berhenti bekerja dan menguduskannya sebagai hari Sabat yang suci, berbeza daripada hari-hari lain dalam seminggu. Allah berjanji bahawa pada hari itu, apabila kita berkumpul di rumah-Nya, Dia akan bertemu dengan kita dan memberkati kita. Allah memberikan hari ini untuk kita beristirahat, kita mesti berhenti daripada segala kerja, dan menggunakan hari ini untuk mengenal-Nya, memuliakan-Nya, dan mengucap syukur kepada-Nya.

Kita mesti pergi ke rumah Allah, mendengar firman-Nya melalui Alkitab dan pengajaran pendeta, yang mengingatkan kita apa yang Allah mahu kita fikirkan dan lakukan. Di rumah Allah, hamba-hamba-Nya akan memberitakan jalan keselamatan di dalam Yesus Kristus.


Selepas kebaktian selesai, apabila kita pulang ke rumah, kita patut berbincang dengan ibu bapa tentang khutbah hari itu, kelas sekolah minggu, dan pelajaran katekismus. Kita juga patut belajar Alkitab, menghafal ayat, atau membaca buku-buku pengajaran yang ditulis oleh umat Allah, sebagai cara untuk mencari Allah. Melawat rumah jagaan untuk menjumpai ibu bapa atau orang tua lain pada hari Ahad, dan berbual dengan mereka tentang Allah serta firman-Nya, juga adalah idea yang baik.


Jika kita ingin Allah memberkati kita pada hari Ahad, kita mesti pergi ke tempat-tempat yang Allah janjikan kehadiran-Nya, dan memohon agar Roh Kudus-Nya dicurahkan ke dalam hati kita. Adakah nama Allah disebut di kedai-kedai, di padang permainan, atau dalam buku-buku duniawi? Hanya apabila kita berada di tempat-tempat di mana nama Allah disebut, atau ketika kita berdoa, barulah kita benar-benar mencari Allah, dan Allah akan memberkati kita. Anak-anak, ingatlah selalu: Hendaklah kamu menguduskan hari Sabat.


Diterjemahkan daripada buku Abjad Allah untuk KehidupanGod's Alphabet for Life by Joel R. Bekee and Heidi Boorsma

Comments


bottom of page